Saturday 7 July 2012

Antara Impian Dan Cita-cita..



Kebanyakan orang ingin berjaya untuk mencapai cita-cita. Sebagai contoh ingin menjadi doktor, arkitek dan lain-lain. Ada pula yang ingin berjaya untuk mencapai impian, seperti ingin memiliki rumah yang besar, kereta dan sebagainya. Namun begitu, matlamatnya tetap sama iaitu ingin berjaya. Dalam kehidupan, semua orang ingin berjaya. Kejayaan tidak akan tercapai tanpa usaha. Berusahalah untuk mencapai kejayaan kerana harga sesebuah kejayaan tidak dapat digambarkan dengan apa-apa.

Walaubagaimanapun, adakah impian dan cita-cita sahaja yang ingin dicapai?? Berbaloikah itu semua??

       Kita sering disuap dengan kejayaan dunia sejak dari kecil, tetapi kita terlepas pandang tentang kejayaan di akhirat. Adakah kejayaan di dunia dapat dibawa untuk akhirat kelak?? Kita sepatutnya mengimbangi usaha kita antara dunia dan akhirat. Kejayaan dunia dan akhirat merupakan kejayaan yang paling besar untuk kita. Carilah keredhaanNya kerana setiap perbuatan dan perlakuan kita adalah kerana Allah S.W.T.

       Kita diibaratkan hanya sekecil zarah sahaja berbanding dengan kekuasaan Allah S.W.T. Bersamalah kita mencari keredhaanNya, selain mengejar kejayaan di dunia. Janganlah biarkan diri kita sesat di bawa arus dunia. Sekadar renungan untuk diri ini...

Sepasang Kasut Yang Lama...



Selalunya kasut merupakan salah satu alat yang menjadi pelengkap dalam kehidupan seharian. Kasut juga dapat menjadi pelindung kaki kerana sesetengah penyakit juga datang dari kaki. Tak kiralah sama ada kudis ataupun lain-lain. Sesetengah orang juga menjadikan kasut sebagai lambang kemewahan. Brand yang terkenal menjadi pujaan dan idaman mereka. Sebagai contoh.. "Eh brand clark r kasut ko, dengki ak xdpt beli".

       Namun begitu, kasut yang lama, dahulunya menjadi pelindung dan setia bersama tuannya kini dilupakan. Kasut yang lama telah ditinggalkan di tempat yang gelap dan berhabuk. Ada yang dibiarkan untuk tadahan hujan dan kepanasan bahangan matahari. Alangkah sedihnya kehidupan kasut yang lama.

       Kasut yang lama sangat merindui kehidupannya yang dulu. Dia berasa terkilan dan sedih apabila terbayangkan tuannya. Apabila ada yang baru, maka dilupakan yang lama. Lama-kelamaaan perasaan benci dan amarah terhadap tuannya makin tinggi. Tuannya sudah tidak mempedulikannya lagi sehinggalah debu-debu mulai merebak ke seluruh tubuhnya dalam kegelapan sebuah almari.

       Setelah bertahun-tahun berlalu, kasut yang lama kini dicari oleh tuannya. Alangkah bahagianya perasaan kasut lama kerana tuannya ingin menggunakannya kembali. Namun begitu, gambaran yang bermain di minda kasut lama meleset. Tuannya ingin membuangnya ke tempat yang jauh. Kasut yang lama dimasukkan ke dalam karungan bersama sahabat-sahabatnya yang lain. Mereka dibawa ke suatu tempat yang belum pernah diketahuinya.

       Setibanya di tempat yang dituju, apabila kasut yang lama dikeluarkan dari karungan guni yang usang, dia melihat banyak kasut-kasut yang seusia dengannya. Disusun, digilap dan dijaga dengan penuh cermat oleh seorang insan yang tua. Kemudian, dia melihat ramai orang yang datang ke tempat tersebut dan melihatnya serta beberapa sahabatnya. Salah seorang daripada orang yang datang telah mengambil kasut yang lama, lalu dibawa ke tempatnya.

       Kini, kehidupan kasut yang lama kembali ceria kerana tuannya yang baru telah menjaganya dengan rapi. Kasut yang lama sering digunakan oleh tuannya yang baru. Kasut yang lama terfikir kembali tentang masa lalunya ketika dia berada di dalam sebuah almari. Rupa-rupanya setiap sesuatu perkara yang berlaku akan ada hikmah disebaliknya. Kasut yang lama juga berasa bersalah terhadap tuannya kerana telah bersangka buruk dan membenci tuannya. Tanpa disangka kehidupan kasut yang lama kini berubah secara tiba-tiba disebabkan pertolongan oleh tuannya juga.

Seorang Tokoh Bahasa Yang Disegani....



Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Bin Ahmad merupakan tokoh yang disegani. Hal ini demikian kerana sumbangannya yang amat bermakna terutamanya dalam bidang bahasa. Za’ba telah diiktiraf oleh masyarakat dan Negara sebagai tokoh cendekiawan yang berwibawa. Beliau juga menjadi landasan kepada permulaan babak perkembangan ilmu bahasa atau linguistik Melayu sejak tahun 1920-an. Namun begitu, beliau tidak pernah terdidik secara formal dalam bidang linguistik. Za’ba juga telah disebut sebagai Bapa Tatabahasa Tradisional Melayu. Za’ba dilahirkan pada tahun 1895 dan telah meninggal dunia pada tahun 1974. Kitab Pelita Bahasa Melayu yang sejumlah tiga penggal telah dihasilkan oleh Za’ba dan merupakan antara kitab terpenting dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Kitab ini juga merupakan khazanah yang amat penting bagi bangsa Melayu. Pelita bahasa atau karya tatabahasanya yang berjumlah tiga jilid ini membantu menerangi jalan bahasa Melayu sehingga kini. Walaupun terdapat banyak kelemahan dalam hasil karyanya, namun, sedikit sebanyak dapat membantu para pengkaji membaiki dan meneruskan kajiannya menjadi lebih baik. Kitab Pelita Bahasa Melayu yang dihasilkannya sebanyak tiga penggal ini merangkumi bidang tatabahasa bagi penggal pertama, diikuti oleh latihan-latihan lanjutan bagi penggal kedua dan ketiga.  
           
Pelita Bahasa Melayu penggal 1 yang dihasilkan oleh Za’ba menjurus kepada sistem nahu bahasa Melayu. Dalam jilid ini mengandungi bidang fonologi dan tatabahasa. Namun begitu, istilah fonologi ini tidak disebut oleh Za’ba, serta ilmu atau konsep fonologi masih belum dikenal oleh Za’ba ketika beliau menulis buku ini. Za’ba juga membincangkan tentang bunyi suara yang digambarkan dengan huruf , huruf benar dan huruf saksi dan sebagainya. Walaupun Za’ba ada mengkaji tentang fonetik, namun kajiannya bersifat umum. Za’ba hanya memperlihatkan pengetahuan beliau tentang jenis-jenis bunyi, ciri-ciri suprasegmental pada bunyi dan bunyi rangkap. Za’ba telah meletakkan peraturan-peraturan dalam mengeja bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan Rumi dan jawi. Darisegi jenis bunyi, Za’ba telah membahagikan kepada dua golongan iaitu huruf saksi dan huruf benar. Huruf saksi sebenarnya adalah vokal huruf benar adalah konsonan. 
           
Darisegi ciri-ciri suprasegmental yang dibincangkan oleh Za’ba disebabkan oleh kesedaran beliau tentang kepanjangan bunyi atau tekanan dalam bunyi bahasa Melayu. Selain itu, Za’ba juga ada membincangkan tentang diftong dan vokal rangkap. Menurut Za’ba, diftong dan rangkap vokal mempunyai persamaan dan perbezaan. Persamaannya darisegi urutan huruf vokal yang berjumlah dua atau lebih, manakala perbezaannya pula darisegi kelantangan, nada, kepanjangan dan tekanan. Za’ba telah menggunakan istilah-istilah yang khusus terhadap diftong dan rangkap vokal. Diftong ialah bunyi berkait rapat, manakala vokal rangkap ialah bunyi berkait renggang.

Dalam kitab Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 yang dihasilkan oleh Za’ba juga ada membicarakan tentang ejaan. Pengaruhnya tentang ejaan ini amat berkesan kerana system ejaan beliau yang digunakan sebagai sistem ejaan rasmi di sekolah-sekolah sehingga 16 Ogos 1972, iaitu tarikh permulaan Sistem Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia, yang dipersetujui bersama dengan pihak Indonesia. Melalui perbincangan beliau mengenai sistem ejaan ini, beliau mempunyai pegangan iaitu ejaan rumi ialah ejaan berdasarkan ucapan. Dalam ejaan , aspek-aspek nahu memainkan peranan penting dalam menentukan pengejaan unit-unit nahu. Contohnya, penambah, bentuk klisis, partikel dan kata. Perbincangan  tentang penambah dalam sesuatu bahasa atau dikenali sebagai morfem terikat. Morfem terikat ini tidak boleh berdiri sendiri dan harus digunakan sebagai awalan dan akhiran perkataan. Bagi awalan di- dan sa-, Za’ba telah memisahkan kedua-duanya itu daripada bahagian lain dalam kata yang mengandungi dengan menggunakan tanda sempang. Sebagai contoh, di-rumah dan di-sekolah. Za’ba tidak menerangkan persoalan tentang di- sebagai awalan kata kerja pasif harus dipisahkan daripada kata dasar yang mengikutinya dengan sempang. Za’ba juga menjelaskan tentang adanya dua jenis di, iaitu di- sebagai awalan kata kerja pasif dan di sebagai kata sendi nama.  Bentuk klisis pula yang digunakan dalam bahasa Melayu seperti ku, kau, mu dan nya. Za’ ba menyempangkan bentuk ini sebagai penambah atau setaraf dengan penambah. Fonologi seperti yang tersirat dalam Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 ini bukanlah jelas membincangkan system bunyi Melayu, tetapi lebih ke arah sistem ejaan.    
           
Pelita Bahasa Melayu Penggal 2 pula merupakan sambungan pengkajian bagi kitab Pelita Bahasa Melayu Penggal 1. Kitab ini ada membincangkan tentang permulaan mengarang, mengarang ayat menjadi cerita, cakap ajuk dan cakap pindah serta lain-lain. Kitab ini telah dijadikan untuk memadankan bagi darjah-darjah rendah dan darjah-darjah tinggi di sekolah Melayu. Hasil karya buku ini dalam tiap-tiap satu bab ada diberi beberapa soalan latihan untuk melatih murid-murid kepada perkara yang diterangkan dalam bab itu. Isi dalam buku ini kebanyakan perkaranya layak untuk darjah dua, tiga dan empat sahaja di sekolah-sekolah Melayu. Namun begitu, terdapat juga beberapa bab yang layak bagi darjah-darjah yang ke atas. Beberapa daripada bab-bab ini telah dipetik isinya daripada buku-buku pelajaran bahasa Inggeris. Namun begitu, ia telah dipinda, dipadan, dan diaturkan mengikut cara yang lebih baik bagi bahasa Melayu dan pelajar sekolah Melayu. Terciptanya buku ini dapat membantu murid-murid sekolah mengarang dengan betul dalam bahasa Melayu dan sebagai panduan kepada guru untuk mengajar. Sebagai contoh bagi bab permulaan mengarang, menurut Za’ba, permulaan ayat haruslah bermula dengan ayat yang senang. Antara ayatnya seperti ayat selapis, iaitu ayat yang satu bendanya dan satu cerita.
           
Apabila seseorang bercakap atau mengatakan sesuatu hal yang cukup maksudnya, maka, barang yang disebut itu benda dan perkara yang dibicarakan itu ialah cerita. Setelah ada benda dan cerita ini, barulah boleh menjadi ayat. Kitab Pelita Bahasa Melayu Penggal dua ini mempunyai 12 bab. Dalam kitab ini juga banyak membincangkan tentang cara menulis karangan dengan baik. Sebagai contoh, lebih kepada permulaan membuat karangan, dan penutup. Dalam kitab ini juga ada memuatkan tentang cakap ajuk dan cakap pindah. Za’ba ada menerangkan tentang perbezaan antara kedua-duanya.  Menurut beliau, cakap ajuk ialah perkataan yang dituturkan  oleh seseorang itu sendiri. Contohnya, Katanya kepada saya “Bapa engkau itu terlalu garang, benci aku memandangnya. Sebaliknya, cakap pindah pula, ialah perkataan yang dituturkan itu dipindahkan kepada menceritakan. Contohnya, Katanya kepada saya bapa saya itu terlampau garang, benci dia memandangnya.
           
Akhir sekali, Pelita bahasa Melayu hasil karya Za’ba telah dikeluarkan untuk penggal ketiga. Kitab ini juga merupakan sambungan bagi Pelita Bahasa Melayu penggal satu dan dua. Kegunaan kitab ini ialah bagi penggunaan murid-murid berlatih mengarang bagi darjah yang lebih tinggi di sekolah-sekolah Melayu serta tahun satu di kolej guru-guru Melayu. Sebagaimana kitab Penggal dua, kitab ini juga dalam beberapa bab ada memetik isi-isi daripada buku-buku pelajaran mengarang bahasa Inggeris. Namun begitu, ia telah dipinda, dipadan dan diaturkan semula mengikut cara yang dirasa lebih munasabah bagi bahasa Melayu dan pelajar sekolah Melayu.
           
Dalam kitab Pelita Bahasa Melayu Penggal tiga ini mengandungi beberapa bab dan antaranya, terdapat bab yang membincangkan cara hendak mengarang dengan betul. Walaupun ditulis 10 tahun sebelum Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajah Inggeris, Za’ba telah menzahirkan harapan agar bahasa Melayu dimajukan sebagai bahasa rasmi pemerintahan yang dihormati dan dipelihara martabatnya. Za’ba juga menyeru ahli bahasa supaya bersikap lapang dada dan realistik demi kemajuannya. Sama seperti saranan sosiolinguistik, Za’ba berpendapat bahawa perubahan tatabahasa tidak dapat ditahan. Misalnya, lambat-laun penggunaan “di” untuk masa (di hari, di zaman) akhirnya terpaksa diterima sebagai betul jua.

Za’ba telah menulis tiga bab khusus untuk menerangkan kesalahan dan kecacatan dalam karangan. Beliau memberi teguran tentang pemilihan kata (diksi), kecenderungan menulis ayat yang panjang-panjang dan penggunaan perkataan yang pelik-pelik. Pada Za’ba, sesebuah karangan yang baik itu ialah karangan yang mudah difahami dan fokus (dihadkan). Za’ba turut membuat analisis beberapa prosa klasik dan contoh karangan yang ditulis oleh murid beliau sendiri. Selain itu, beberapa contoh karangan yang lengkap turut dimuatkan. Sebagai panduan kepada guru, Za’ba menyediakan sejumlah 76 rangka karangan rencana dan sembilan kumpulan tajuk karangan yang lain. Dalam Pelita Bahasa Melayu Penggal tiga ini juga Za’ba memuatkan tentang cara menggunakan sesetengah perkataan sendi nama. Za’ba juga telah membincangkan cara untuk menghiasi karangan. Dalam pelita Bahasa Ini juga ada memuatkan tentang cara mengarang syair, sajak, gurindam dan seloka.

Kesimpulannya, dapat disimpulkan bahawa taraf pemikiran linguistik Za’ba merupakan sesuatu yang patut dikagumi. Walaupun terdapat beberapa daripada konsep dan perlakuannya menyimpang daripada konsep dan perlakuan linguistik moden, kita dapat lihat bahawa kesejajarannya besar dan cukup untuk memperkuatkan karyanya sebagai karya linguistik agung. Khusus tentang buku Pelita Bahasa Melayu ini, Za’ba telah meletakkan asas tatabahasa Melayu yang utuh sehingga diangkat sebagai Bapa Tatabahasa Tradisional Melayu Malaysia oleh Prof. Dr. Harimurti Kridalaksana.Prof. Syed Muhammad Naquid al-Attas juga ada mengungkapkan kepada Za’ba bahawa “karangannya yang diberi nama Pelita Bahasa Melayu itu sungguh benar pelita yang menerangi suasana kelam dan keliru dan menunjukkan jalan kea rah kesedaran orang Melayu akan nilai bahasanya yang merupakan jiwa bahasa itu”.