Saturday 7 July 2012

Sepasang Kasut Yang Lama...



Selalunya kasut merupakan salah satu alat yang menjadi pelengkap dalam kehidupan seharian. Kasut juga dapat menjadi pelindung kaki kerana sesetengah penyakit juga datang dari kaki. Tak kiralah sama ada kudis ataupun lain-lain. Sesetengah orang juga menjadikan kasut sebagai lambang kemewahan. Brand yang terkenal menjadi pujaan dan idaman mereka. Sebagai contoh.. "Eh brand clark r kasut ko, dengki ak xdpt beli".

       Namun begitu, kasut yang lama, dahulunya menjadi pelindung dan setia bersama tuannya kini dilupakan. Kasut yang lama telah ditinggalkan di tempat yang gelap dan berhabuk. Ada yang dibiarkan untuk tadahan hujan dan kepanasan bahangan matahari. Alangkah sedihnya kehidupan kasut yang lama.

       Kasut yang lama sangat merindui kehidupannya yang dulu. Dia berasa terkilan dan sedih apabila terbayangkan tuannya. Apabila ada yang baru, maka dilupakan yang lama. Lama-kelamaaan perasaan benci dan amarah terhadap tuannya makin tinggi. Tuannya sudah tidak mempedulikannya lagi sehinggalah debu-debu mulai merebak ke seluruh tubuhnya dalam kegelapan sebuah almari.

       Setelah bertahun-tahun berlalu, kasut yang lama kini dicari oleh tuannya. Alangkah bahagianya perasaan kasut lama kerana tuannya ingin menggunakannya kembali. Namun begitu, gambaran yang bermain di minda kasut lama meleset. Tuannya ingin membuangnya ke tempat yang jauh. Kasut yang lama dimasukkan ke dalam karungan bersama sahabat-sahabatnya yang lain. Mereka dibawa ke suatu tempat yang belum pernah diketahuinya.

       Setibanya di tempat yang dituju, apabila kasut yang lama dikeluarkan dari karungan guni yang usang, dia melihat banyak kasut-kasut yang seusia dengannya. Disusun, digilap dan dijaga dengan penuh cermat oleh seorang insan yang tua. Kemudian, dia melihat ramai orang yang datang ke tempat tersebut dan melihatnya serta beberapa sahabatnya. Salah seorang daripada orang yang datang telah mengambil kasut yang lama, lalu dibawa ke tempatnya.

       Kini, kehidupan kasut yang lama kembali ceria kerana tuannya yang baru telah menjaganya dengan rapi. Kasut yang lama sering digunakan oleh tuannya yang baru. Kasut yang lama terfikir kembali tentang masa lalunya ketika dia berada di dalam sebuah almari. Rupa-rupanya setiap sesuatu perkara yang berlaku akan ada hikmah disebaliknya. Kasut yang lama juga berasa bersalah terhadap tuannya kerana telah bersangka buruk dan membenci tuannya. Tanpa disangka kehidupan kasut yang lama kini berubah secara tiba-tiba disebabkan pertolongan oleh tuannya juga.

No comments:

Post a Comment